OKS: Latih skuad junior berjaya, latih skuad senior hancur... di mana silap?


Aku nak ucap tahniah kepada para pemain muda kebangsaan kerana membuatkan rakyat Malaysia khususnya para peminat bola sepak dapat meraikan kemenangan setelah sekian lama tak merasainya.

Seri dengan Jordan dan kemudian menewaskan Arab Saudi dalam kejohanan AFC bawah 23 di China malam tadi sekurang-kurangnya memberi sedikit nafas kepada bola sepak negara. Tak kisahlah kalau ia masih diperingkat awal tetapi kejayaan mara ke suku akhir dah cukup membanggakan.

Nampaknya sentuhan Ong Kim Swee terhadap para pemain muda sering kali menjadi. Sebelum ini beliau berjaya membawa skuad Harimau Muda untuk memenangi pingat emas Sukan SEA tahun 2011 dan 2013.

Pada masa itu lahirlah bintang-bintang seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat, Nor Idlan Thalaha, Shafik Rahim dan beberapa lagi yang menyinar sehinggakan menjadi kegilaan rakyat dan dipancing kelab-kelab luar negara.

Namun, ketika Kim Swee diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad senior pada 2016 pencapaiannya tidaklah secemerlang ketika melatih skuad Harimau Muda. Di mana silapnya? Apakah taktik dan teknik latihan Kim Swee lapok dan tidak sesuai untuk skuad senior, atau adanya tekanan daripada pihak pengurusan FAM atau para pemain senior tidak serasi dengan beliau?

Jika dikatakan taktik dan teknik Kim Swee lapok, bagaimana dia boleh mencorakkan pemain muda lebih baik dan berjaya? Jika adanya tekanan, aku percaya ia ada di mana-mana tak kira mengendalikan skuad senior ataupun junior. Nak kata pemain senior tak serasi dengan beliau, nyata para pemain yang diambil sebahagian besar adalah bekas pemain junior yang pernah dilatihnya.

Lalu di mana silapnya?

Jawapan aku mudah sahaja. Pemain itu sendiri...

Nyata Kim Swee mudah membentuk para pemain muda berbanding pemain-pemain senior apatah lagi sebahagian besar pemain senior yang dipilih terdiri daripada 'bintang-bintang' walaupun mereka sekadar berada di bangku simpanan dalam kelab yang diwakili.

Aku yakin dan percaya, kesungguhan yang ditunjukkan para pemain muda lebih tinggi berbanding pemain senior yang kebanyakannya sudah memperoleh pendapatan yang begitu lumayan ketika bermain dengan kelab-kelab elite khususnya.

Para pemain muda juga tidak keras kepala, mengikut kata dengan tidak angkuh atau bongkak seperti sesetengah pemain senior yang berkereta mewah, berumah besar serta beristeri para selebriti.

Atas sebab itulah aku percaya Ong Kim Swee mudah membentuk pasukan yang mantap berbanding melatih skuad senior. Dan atas sebab itu jugalah skuad senior kita tidak akan ke mana-mana atau gagal mencapai kemenangan waima menentang pasukan tercorot dalam ranking FIFA. Sikap para pemain inilah yang menyebabkan para jurulatih "mengalah" dan meletak jawatan satu demi satu, tak kira jurulatih tempatan atau luar negara.

Aku percaya jika keadaan skuad senior seperti ini, datanglah jurulatih hebat macam Jose Mourinho pun, sudah tentu tidak mampu mengembalikan kekuatan skuad senior.

Akhir sekali aku harap para pemian junior yang sedang bertarung di China dapat mengekalkan jati diri mereka apabila telah mencapai kejayaan menjadi pemain bintang, sebab bintang-bintang itu bersinar hanya seketika, kelak bila ia sudah malap tiada siapa lagi memandang. Tak ada lagi kelab yang mahu mengambil mereka bermain.

Contoh sudah banyak dan lihatlah bagaimana para bintang kita yang dulunya bersinar terang kini hilang satu persatu di balik glamour.

Biarlah kita menjadi padi, semakin berisi semakin tunduk...

Post a Comment

0 Comments