Mahathir vs Anwar: Siapa paling berkuasa?


Semalam Kabinet baharu sudah dibentuk secara rasmi. Mahathir sebagai PM dan Wan Azizah sebagai TPM. Di bawahnya ialah Muhyiddin, Guan Eng dan Mat Sabu sebagai menteri kanan. Turut berada dalam Kabinet ialah Azmin Ali.

Ramai yang bertanya kenapa Azmin dipilih sedangkan dia sudah ditabal sebagai MB Selangor. Jawapan aku mudah saja, ia atas kemahuan Anwar. Ya, Anwar yang kini berada dalam Majlis Presiden PH selepas dibebaskan daripada penjara setelah mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

Tapi kebanyakan orang muda atau tepatnya pengundi kali pertama pada PRU-14 lalu pastinya akan persoal jawapan aku. Ah, tidak mungkin Anwar yang tentukan barisan Kabinet baru. Ini adalah keputusan bersama antara Majlis Presiden.

Ya, itu yang Mahathir maklumkan kepada media. Dalam bilik itu tiada siapa yang tahu apa berlaku melainkan mereka yang berkenaan.

Seperti aku tulis dalam entri sebelum ini bahawa Anwar tidak mungkin menunggu selama dua tahun untuk menjadi PM menggantikan Mahathir. Nah, ternyata dugaan aku semakin jelas kebenarannya.

Buktinya apabila Anwar 'menegur' Mahathir kerana bertindak menggeledah rumah Najib di awal pagi ketika umat Islam membuat persiapan untuk bersahur dan berpuasa. Teguran Anwar itu bukan sebarang teguran, sebaliknya ia adalah amaran kepada Mahathir bahawa dia bukanlah pemimpin paling berkuasa di Malaysia sekarang, walaupun dia menjawat jawatan PM.

Semua nampak kecenderungan Mahathir ialah untuk mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu 1MDB dan soal "salah guna kuasa". Sebab itu tindakan pertama Mahathir selepas dilantik sebagai PM ialah mengambil tindakan terhadap Najib. Balas dendam? Mungkin...

Berbeza dengan Anwar, selepas dibebaskan dia turun padang bertemu penyokong dan pengikutnya. Katanya selepas ini ada road-show ke seluruh negara. Pada masa yang sama Anwar mula bergerak bertemu rakan-rakan lamanya termasuk BJ Habibie di Indonesia dan memberikan kenyataan kepada media-media asing. Maka keluarlah kenyataan-kenyataan beliau mengenai gerakan dan masa depan negara di bawah Pakatan Harapan.

Mahathir? Bertemu musuh-musuh Najib dan segala sumber berkaitan 1MDB, bertujuan untuk menghukum Najib atas penyelewengan dana 1MDB. Manakala usaha lain tidaklah begitu kelihatan.

Dan apabila Anwar bercakap tentang masa depan orang Melayu selepas ini di bawah pakatan, aku tertanya-tanya siapa yang mentadbir negara pada masa kini. Mahathir atau Anwar? Anwar tiada jawatan dalam Kabinet tetapi dia mempunyai sekurang-kurangnya dua orang kanan beliau iaitu isterinya, Wan Azizah sebagai TPM dan Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang ramai melihat jawatan yang cuba mengimbangi kuasa Menteri Kewangan yang dipegang oleh Guan Eng.

Anwar menggunakan jawatan sebagai Ketua Umum Pakatan untuk bergerak ke seluruh dunia dan menyampaikan gagasan-gagasannya, ketika Mahathir masih lagi Perdana Menteri. Ini membuktikan bahawa Anwar sebetulnya sudah menyusun langkah untuk menjadi PM tanpa perlu menunggu Mahathir melepaskan jawatannya sebagai PM kepada Anwar seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Malah aku sudah nampak wujud dua kem dalam barisan Kabinet iaitu kem Mahathir terdiri daripada Muhyiddin dan Dr. Mazslee manakala kem Anwar pula (seperti yang aku sebutkan di atas) ialah Wan Azizah dan Azmin. Tidak mustahil baki jawatan Kabinet yang belum dilantik akan dibarisi beberapa nama dari kem Anwar, antaranya Kamarudin Jaafar. Dan Mahathir juga, bagi mengimbangi pengaruh Anwar akan meletakkan beberapa nama yang berpihak kepadanya.

Malahan bantahan pelantikan Majlis Penasihat Negara oleh Rafizi juga aku yakin datang dari Anwar sendiri. Dia menggunakan Rafizi untuk menghentam Mahathir kerana bertindak macam buldozer melantik majlis tersebut yang diketuai oleh Daim Zainuddin -- bekas 'musuh' Anwar dan dilabel sebagai perompak oleh Anwar sendiri.

Kesimpulannya, melihat tindak-tanduk Anwar aku yakin dia meletakkan dirinya lebih berkuasa berbanding Mahathir selaku Perdana Menteri walaupun Anwar tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet. Tetapi dia menggunakan proksinya untuk mengawal pentadbiran negara, khususnya Mahathir.

Perbezaan pendapat dan tindakan antara kedua-duanya sudah kelihatan walaupun baru dua minggu kerajaan Pakatan Harapan dibentuk dan baru seminggu Anwar dibebaskan. Bayangkan dalam tempoh dua tahun akan datang apa akan berlaku? Harus diingat Anwar dan Mahathir pernah berseteru dan aku yakin perasaan saling tidak percaya antara satu sama lain masih wujud.

Pesan aku kepada rakyat, satu saja. Jangan percaya cakap-cakap orang politik. Daripada 10 satu pun belum tentu boleh pakai.

Post a Comment

0 Comments