Tun Mahathir... Antara dilema dan harapan


Sudah hampir seminggu berlalu namun sehingga kini kerajaan Malaysia baru masih belum mempunyai barisan Kabinet untuk mentadbir negara. Sekarang Malaysia diatur oleh atok 93 tahun secara bersendirian.

Walaupun sebelum ini Tun sudah umumkan tiga nama menteri iaitu Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri, Guan Eng Menteri Kewangan dan Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan, namun ketiga-tiga mereka masih belum mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong. Malahan Wan Azizah sendiri belum mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah bayangan barisan 7 lagi menteri Kabinet belum kelihatan. Ramai yang percaya Tun sukar menetapkan para menteri berikutan ketidaksefahaman antara parti-parti yang bergabung di bawah PH terutama PKR selaku parti paling banyak memenangi kerusi PRU-14. Setidak-tidaknya kritikan Rafizi berhubung tindakan buldozer oleh Tun kerana mengumumkan 3 menteri sebelum ini membuktikan wujudnya perkara tersebut walaupun Tun mendakwa keputusan dibuat hasil kesepakatan majlis presiden PH.

Sudahlah pelantikan tiga Menteri Besar dari PPBM walaupun jumlah kerusi dimenangi lebih sedikit berbanding PKR di Kedah, Perak dan Johor turut mencetuskan ketidakpuasan hati, di peringkat Pusat juga dijangka akan wujud perkara itu, dan boleh mencetuskan 'sengketa' antara mereka.

PKR mula nampak PPBM diketuai oleh Tun cuba menguasai kerajaan PH sedangkan kerusi dimenangi parti bunga itu hanya 13 kerusi berbanding PKR 47 kerusi manakala DAP 42. PPBM kini sudah ada dua wakil dalam Kabinet iaitu Tun sendiri sebagai PM dan Muhyiddin, sedangkan PKR hanya ada Wan Azizah sebagai TPM. DAP dan PAN masing-masing ada satu.

Kini Tun menghadapi masalah untuk mengisi tujuh jawatan menteri lagi kerana PKR terutama Rafizi mendesak agar Anwar perlu dibawa berbincang dalam menentukan barisan Kabinet menteri. Persoalannya, kenapa PKR mahukan Anwar terlibat dalam penetapan barisan menteri, sedangkan PKR sudah ada Wan Azizah selaku Presiden parti? Apakah PKR tidak yakin dengan Wan Azizah atau PKR mahu memastikan "orang Anwar" berada dalam barisan menteri bagi mengimbangi "orang Mahathir"?

Itulah cabaran yang dihadapi oleh Tun sekarang. Itu belum lagi menyentuh soal jawatan Menteri Kewangan yang diserahkan kepada DAP, kepada Guan Eng yang terpalit dengan kes rasuah di samping kebimbangan orang Melayu terhadap nasib mereka selepas kementerian yang menjadi kewangan negara diserahkan kepada wakil kaum Cina.

Nak tak nak Tun terpaksa membuat pusingan U dengan menyatakan pelantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan belum muktamad. Kenyataan ini sudah tentu mengecewakan DAP yang selama ini mengidamkan jawatan penting itu. Apatah lagi Guan Eng yang tersenyum lebar sejak namanya diumumkan sebagai Menteri Kewangan tempoh hari.

Aku percaya akan berlaku sengketa lebih besar dalam kerajaan PH yang baru berusia beberapa hari ini jika Tun menarik balik jawatan Menteri Kewangan kepada Guan Eng kerana ia akan mencetuskan kemarahan kepada DAP. Malah Tun juga menghadapi masalah jika Anwar menyenaraikan nama-nama orangnya sebagai menteri sedangkan jawatan tersebut perlu dibahagikan lagi dengan wakil-wakil parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Maka dalam keadaan ini Tun terpaksa menggunakan kuasa diktatornya dalam melantik barisan Kabinet dan tidak boleh mengikuti kehendak setiap parti kerana penetapan barisan menteri ini penting bagi memudahkan Tun mentadbir negara. Bayangkan jika menteri semua tidak sehaluan dengan PM, sudah tentu ia membawa kesukaran.

Bagi aku, Tun perlu segera buat keputusan melantikan barisan Kabinet. Banyak perkara yang perlu dilakukan ketika rakyat terus mendesak kerajaan PH melaksanakan 10 janji dalam 100 hari seperti dicanang dalam manifesto PRU-14 PH. Para pemimpin parti terutama PKR pula perlu memberi kepercayaan kepada Tun memilih barisan Kabinetnya walaupun sukar.

Aku juga percaya Tun mula sedar, menjadi PM7 tidak semudah semasa PM4. Tun semasa menjadi PM4 atas partinya, UMNO sebagai parti dominan dalam BN. Sebaliknya sebagai PM7, Tun bukan saja mewakili parti yang minoriti malahan juga tidak mempunyai kesepakatan yang kukuh seperti BN. PH dibentuk (tanpa sah) untuk menghadapi PRU-13 menentang BN, dan kemenangan mereka di luar jangkaan.

Rakyat kini sedang memerhati dan mereka masih boleh bersabar namun sampai bila kesabaran mereka boleh bertahan? Seminggu tanpa barisan Kabinet dan seminggu tanpa haluan jelas. Mereka bimbang segala janji PH untuk mengubah nasib rakyat dalam tempoh 100 hari tidak dapat dilunaskan.

Suara-suara rakyat sudah kedengaran...

Post a Comment

0 Comments