Layakkah Zahid menakhodai UMNO?

Pekembar ditubuhkan di kaki Istana Anak Bukit Johor Bahru pada 1946.

Amat memalukan apabila mendapat tahun calon Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi terpaksa mendapatkan nasihat daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengepalai parti pembangkang menggulingkan UMNO/BN pada PRU-14 untuk memulihkan parti.

Malu beb bagaimana seorang pemimpin yang berhasrat memimpin UMNO sebagai sebuah parti pembangkang tetapi buntu untuk mencari penyelesaian menarik semula sokongan rakyat kepada parti tersebut.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Dr. Mahathir yang mengesahkan bekas orang kanan Najib Razak itu mengharapkan sokongan beliau untuk memulihkan UMNO. Jelas Zahid tidak mempunyai idea untuk memulihkan parti selepas tewas  pada PRU lepas setelah 60 tahun menjadi pemerintah.

Bagi aku, jika Zahid tidak mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah UMNO, sebaiknya beliau menarik diri daripada bertanding sebagai Presiden parti. Lebih baik beri laluan kepada orang lain, yang lebih berpengalaman untuk memimpin UMNO dan yang penting mengembalikan "kekuatan" parti.

Kelak nanti jika Zahid terus bertanding, menang dalam pemilihan tetapi akhirnya bersujud kepada Dr. Mahathir, bekas pemimpin UMNO yang kini sudah berpaling tadah. Tidak Zahid tidak boleh menjadi nakhoda UMNO jika dia sendiri kebingungan mencari haluan.

Zahid dikatakan bertemu Dr Mahathir untuk mendapatkan nasihat bagi menyelamatkan UMNO.
Bagi aku mudah. UMNO perlu kembali ke asal usul di mana diawal penubuhan Pekembar adalah untuk mempertahankan agama Islam, umat Melayu dan raja-raja Melayu. Jika semangat Pekembar ini ditanam semula dalam UMNO, aku yakin dan percaya ia akan kembali menjadi parti yang disayangi rakyat.

Pekembar lahir di tangga istana. Jadi, pemimpin UMNO sepatutnya segera mengadap raja-raja Melayu dan memberikan jaminan bahawa UMNO akan terus menjadi benteng bagi agama Islam, orang Melayu dan sudah tentu raja-raja Melayu tatkala kerajaan baharu yang kuasai oleh DAP cenderung untuk merobohkan institusi ini secara sedikit demi sedikit.

Atas jaminan tersebut, pemimpin UMNO khususnya Zahid sepatutnya menghadap semua raja-raja Melayu dan mendapatkan sokongan istana untuk memperkukuhkan UMNO, dan bukannya menyembah Dr. Mahathir yang kini sudah menjadi seteru.

Dalam hal ini aku melihat langkah Anwar Ibrahim lebih bijak dan tepat apabila dia mengambil langkah segera menghadap beberapa raja Melayu berpengaruh sejurus beliau dibebaskan daripada penjara. Seingat aku antara raja-raja Melayu yang ditemui Anwar ialah Sultan Kedah, Sultan Selangor, Sultan Johor dan sudah semestinya Yang di-Pertuan Agong.

Aku yakin dan percaya dalam setiap pertemuan itu Anwar memberi keyakinan kepada raja-raja Melayu bahawa beliau akan mempertahankan Islam, orang Melayu dan lebih penting raja-raja Melayu, jika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Mahathir.

Sebab itulah Anwar berkali-kali menyebut bahawa beliau tidak akan meminggirkan Melayu, mempertahankan agama Islam malam Anwar juga cepat-cepat menegur Kadir Jasin yang cuba 'menghina dan memperlekeh' Yang di-Pertuan Agong.

Lalu persoalan aku, di mana Zahid dan para pemimpin UMNO ketika beliau tewas dalam PRU lepas? Kenapa UMNO tidak segera mendapatkan sokongan raja-raja Melayu ketika parti itu tumbang? Kenapa perlu mengharapkan nasihat dan belas ihsan daripada Mahathir dan bukannya raja-raja Melayu?

Inilah kelemahan Zahid, gagal memimpin kapal dalam saat genting. Beliau hanya kelihatan hebat ketika dia menjadi orang kanan Najib tetapi apabila nakhoda sudah tertewas, dia sendiri hilang punca, buntu dan tidak tahu apa yang ingin dilakukan.

Aku yakin dan percaya jika UMNO kembali kepada semangat Pekembar, mendapatkan sokongan istana dengan menjadikan parti itu sebagai benteng Islam, Melayu dan raja-raja Melayu nescaya rakyat akan kembali yakin dengan perjuangan UMNO dan mereka akan kembali menyokong parti itu, khususnya mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air.

Benar, untuk kembali merampas semula kerajaan pada PRU-15 mungkin agak sukar tetapi jika UMNO kembali ke perjuangan asal semasa awal penubuhan pada Mei 1946, lambat laun UMNO akan kembali menjadi pemerintah.

Ayuh, bangkitlah UMNO!

Post a Comment

0 Comments