Uighur: Kenapa Mahathir membisu?

Ribuan umat Islam Uighur ditindas dengan kejam oleh kerajaan China sehingga mendapat perhatian masyarakat dunia.
Tun Dr Mahathir Mohamad terkenal sebagai seorang pemimpin yang lantang memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia. Beliau antara pemimpin yang berani menghentam Israel dan AS di pentas Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak menjawat Perdana Menteri Keempat (PM4) lagi. Malah nama Mahathir meniti di bibir rakyat Bosnia, Kemboja, Rohingya dan Palestin sendiri lantaran keberanian beliau menentang pemimpin-pemimpin kuasa besar dunia.

Aku sendiri pernah menulis dalam blog ini (Baca: Tun Mahathir di mata rakyat Kemboja) tentang bagaimana kagumnya rakyat Kemboja kepada Dr. Mahathir kerana atas jasa beliaulah umat Islam Melayu Champa bebas daripada belenggu kekejaman Khmer Rough dan membawa keamanan di negara itu sehingga ke hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir begitu berani membuat kecaman terhadap India berhubung pindaan perlembagaan negara itu, yang berkaitan dengan nasib umat Islam di India khususnya di Kashmir. Hebat, cukup hebat. Tidak hairan seluruh dunia sentiasa menunggu ucapan Dr. Mahathir setiap kali beliau hadir di pentas antarabangsa, khususnya PBB.

Namun, aku agak pelik dengan sikap Dr. Mahathir yang terus membisu berhubung isu penindasan  terhadap penduduk Islam Uighur di selatan negara itu, ketika seluruh dunia mengadakan bantahan terhadap kekejaman kerajaan China itu. Apa sudah jadi Harimau Asia? Di mana kelantangan suara "Mahathir" yang selama ini menjadi pujaan jutaan umat Islam di dunia? Kenapa Malaysia terus membisu tentang isu Uighur?

Lebih pelik lagi isu Uighur langsung tidak disentuh ketika Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) yang berlangsung minggu lalu, yang turut dihadiri beberapa tokoh negara Islam termasuk dari Turki dan Iran. Malahan Dr. Mahathir menganggap isu Uighur yang sendang mendapat perhatian seluruh dunia sekarang, adalah di luar konteks sidang kemuncak tersebut.

Ramai mula menuduh tindakan membisu Dr Mahathir khususnya dan kerajaan Malaysia amnya berhubung krisis penduduk Islam Uighur di China ada kaitan dengan pengaruh DAP dalam kerajaan, selain "hutang budi" kerajaan PH terhadap kerajaan China.

Apakah benar pengaruh pemimpin DAP dalam kerajaan menyebabkan Dr Mahathir tidak berani bersuara tentang umat Islam dan kaum Melayu di negara ini, apatah lagi nasib umat Islam di luar sana, khususnya di China? Apakah juga benar Dr Mahathir sejak diangkat sebagai PM7 ini hanya berani bak singa kelaparan ketika berada di luar negara, tetapi apabila berada di negara sendiri beliau hanya menjadi tikut yang kekenyangan.

Apabila ada yang memberitahu aku bahawa Dr Mahathir pernah disergah oleh seorang pemimpin kanan DAP apabila Perdana Menteri itu menyebut tentang hal ehwal orang Melayu, aku sebetulnya tidak mahu mempercayainya. Tidak mungkin seorang Perdana Menteri yang hebat seperti Dr Mahathir boleh diperlakukan sedemikian.

Satu dunia bantah China kerana siksa penduduk Islam Uighur...
Namun apabila menerima sikap Dr. Mahathir terhadap isu Uighur, ketidakpercayaan aku terhadap peristiwa itu sedikit sebanyak turut terjejas. Hal ini kerana sikap sedemikian berbeza sama sekali dengan sikap Dr. Mahathir yang aku kenal, rakyat kenal dan masyarakat dunia kenal. Tidak, tak mungkin Dr Mahathir gentar dengan sergahan rakan sekutu dari DAP, sedangkan dia begitu berani berdepan dengan pemimpin dunia lain baik dari Israel, AS mahupun India.

Justeru, aku berharap Kuala Lumpur segera mengambil langkah-langkah yang wajar berhubung isu Uighur, sama ada mendesak PBB mengadakan mesyuarat khas, mengadakan perbincangan di peringkat Asia dan serantau mahupun mesyuarat dua hala dengan kerajaan China sendiri.

Malaysia adalah negara Islam yang dikagumi dan dihormati oleh masyarakat dunia dan jangan sampai kita dilihat sudah melemah dan tidak bertaring lagi.

Post a Comment

0 Comments