Desakan dari dalam punca Maszlee letak jawatan

Satu kejayaan besar bagi orang Cina jika Teo Nie Ching diangkat sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Maszlee Malik.
Ramai melihat peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan berpunca daripada desakan dari dalam kerajaan dan bukannya akibat desakan rakyat mahupun dari pihak pembangkang. Ini jelas apabila beliau memaklumkan bahawa peletakan jawatannya itu yang bermula hari ini atas nasihat Perdana Menteri.

Ekoran itu ramai mula menuding jari terhadap DAP, selaku parti kedua terbesar dalam kerajaan PH sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan Maszlee diarah melepaskan jawatannya ketika isu-isu berkaitan pembelajaran jawi di sekolah jenis kebangsan dan pengiktirafan UEC gagal menemui titik noktah.

Desakan berterusan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiou Zong yang disokong penuh oleh DAP agar Kementerian Pendidikan mengiktiraf secara rasmi UEC dan menarik balik pembelajaran tulisan jawi sebanyak tiga muka surat di sekolah jenis kebangsaan membuatkan Maszlee boleh pecah kepala kerana terpaksa memilih antara keputusan politik ataupun kebajikan rakyat dan masa depan negara,

Pada masa yang sama Maszlee juga berdepan dengan dua isu lain iaitu sistem internet di sekolah dan juga pemberian sarapan percuma kepada semua murid di semua sekolah kebangsaan. Penamatan pembekal internet ke semua sekolah, 1BestariNet oleh YTL dan menyerahkan kepada pembekal perkhidmatan sedia ada seperti Celcom, Maxis dan TM menyebabkan ada pihak-pihak tertentu tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Manakala pemberian sarapan percuma sepatutnya bermula sesi persekolahan semalam, telah ditangguh dan hanya memilih 100 sekolah sahaja sebagai perintis.

Seorang guru besar yang aku kenali sendiri mengakui pemberian sarapan percuma kepada semua murid adalah mengarut kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar. Sebagai contoh, di sekolahnya mempunyai 750 orang murid dan jika seorang diberikan peruntukan RM3 sehari, bayangkan berapa jumlah perbelanjaan untuk sebulan batu satu sekolah. 750 murid X RM3 X 20 (hari persekolahan) bersamaan RM45,000 sebulan. Itu belum mengambil kira sekolah yang lebih besar muridnya.

Manakala dalam Bajet 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada Oktober tahun lalu pula tidak dinyatakan peruntukan yang disediakan untuk program sarapan percuma ini, sekali gus menyebabkan Kementerian Pendidikan gagal mendapat peruntukan yang diperlukan untuk penyediaan bekalan sarapan tersebut kepada semua murid.

Aku tertarik dengan kenyataan media sebagai tanda terima kasih beliau kepada Perdana Menteri (yang aku sendiri tidak pasti untuk apa dikeluarkan kenyataan sedemikian, selepas membuat sidang akhbar)  semalam yang menyebut:

"Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama."

Lalu, siapakah yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Maszlee? Apakah timbalannya Teo Nie Ching akan naik pangkat sebagai Menteri Pendidikan sepertimana yang diharapkan oleh masyarakat Cina terutama DAP dan Dong Jiou Zong?

Atau apakah Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim akan dilantik memandangkan sebelum ini alasan beliau tidak dilantik dalam Kabinet Mahathir kerana "tiada kekosongan" dan sekarang adalah masanya yang sesuai? Jika benar, apakah Anwar sedia menjadi "orang bawahan" Mahathir ketika beliau sedang bersiap sedia untuk menjadi PM8 beberapa bulan lagi seperti dijanjikan oleh Mahathir sendiri.

Atau apakah seorang lagi kalangan akademik dilantik sebagai Menteri Pendidikan?

Sama-samalah kita tunggu dan lihat

Post a Comment

0 Comments