Kemenangan manis di Kimanis... Satu analisis

Mohamad Alamin menggantikan Anifah Aman di Parlimen.
Tahniah kepada Mohamad Alamin kerana berjaya mengekalkan kerusi BN di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini. Mohamad Alamin menewaskan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad dari UMNO/BN menang dengan memperoleh 12,706 undi manakala Karim dari parti Warisan yang tewas kepada Anifah Aman dalam PRU-14 lepas, memperoleh 10,677 undi.

Dalam PRU-14 Karim memperoleh 11,786 undi manakala Anifah 11,942 undi manakala calon pengacau daun dari Pas, Jaafar Ismail mencuri 1,300 undi. Hasilnya, Anifah hanya menang dengan majoriti 156 undi, sebelum kemenangan Anifah dibatalkan oleh mahkamah sehingga terpaksa PRK diadakan.

Keputusan PRU-14 bagi Parlimen Kimanis tahun 2018 lalu.

Berdasarkan jumlah undi yang diperoleh oleh Anifah dan Mohamad Alamin hanya pertambahan sebanyak 764 undi, manakala jumlah undi yang diperoleh Karim dari PRU-14 dan PRK kali ini merosot sebanyak 1,109 undi.

Jika dilihat daripada majoriti yang diperoleh oleh Mohamad Alamin, sebenarnya BN tidaklah boleh mendabik dada dengan kemenangan kali ini kerana aku anggap ia hanya kemenangan tipis.

Jelas 1,300 undi yang diperoleh oleh Pas dalam PRU-14 diserahkan kepada BN kali ini manakala kehilangan undi Karim pula mungkin disumbang oleh jumlah peratus pengundi sedikit berkurang berbanding peratus keluar mengundi semasa PRU-14 lalu.

Pun begitu, jika dilihat nasib UMNO Sabah selepas PRU-14 menyaksikan 16 ADUN, 6 Ahli Parlimen dan 22 daripada 25 Ketua Bahagian meninggalkan parti untuk menyertai parti-parti kerajaan baik Bersatu, Warisan mahupun PKR, jelas kemenangan di PRK Kimanis cukup manis.

Bayangkan satu demi satu ketua-ketua bahagian termasuk ayam sabung Najib di Sabah iaitu Salleh Said Keruak dan Hajiji Mohd Noor meninggalkan UMNO, meninggalkan Bung Moktar dan Rahman Dahlan meneruskan kepimpinan parti di Negeri di Bawah Bayu ini, maka tidak hairanlah jika kedua-dua menitis air mata meraikan kemenangan Mohamad Alamin hari ini.

Selain faktor undi Pas, kemenangan BN di Kimanis hari ini juga atas faktor calon di mana pengundi lebih yakin kepada calon lebih muda dan berpendidikan tinggi seperti yang dimiliki oleh Mohamad Alamin, berbanding Karim Bujang yang sudah berusia 67 tahun dengan sijil akademik pula meragukan.

Kesetiaan penyokong Anifah juga menjadi penyumbang kemenangan Mohamad Alamin. Aku yakin jika Anifah berjaya menyeberang ke parti kerajaan baik dalam Bersatu, PKR mahupun Warisan, kemungkinan untuk BN mempertahankan kerusi Kimanis juga amat perit.

Jadi, walau apa pun faktor penyumbang kemenangan BN di Kimanis, menang tetap menang walaupun satu undi. Tahniah BN, tahniah Mohamad Alamin.  - MTB

Post a Comment

0 Comments