Pendedahan Latheefa makan diri

Hasrat Latheefa nak kenakan Najib melalui rakaman audio akhirnya memalukan dirinya sendiri.
Entah apa motif Latheefa Koya mendedahkan kepada umum rakaman audio tahun membabitkan Najib, isterinya Rosmah dan pemimpin negara asing aku pun tidak pasti. Rakaman tahun 2016 yang dikatakan ada kaitan dengan kes 1MDB tetapi dimainkan di dalam sidang akhbar, ketika kempen PRK Kimanis sedang berlangsung.

Kalau benar ia bukti terbaharu untuk mengaitkan Najib dengan penyelewengan dana 1MDB, Latheefa yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang sepatutnya menyerahkan bukti tersebut kepada pihak polis untuk disiasat dan dibawa ke mahkamah. Tetapi Latheefa selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM sebaliknya menjadikan ruangan sidang akhbar sebagai "galeri mahkamah" terhadap Najib dan Rosmah.

Ekoran tindakan yang dianggap tidak bermoral, melanggar kod etika SPRM sendiri serta dikatakan boleh menjejaskan hubungan baik antara negara, Latheefa telah didesak supaya melepaskan jawatannya dan kembali menjadi ahli politik. Seruan itu bukan hanya datang dari pihak pembangkang, sebaliknya juga dari para pengamal undang-undang dan netizen, yang melihat kecanggungan Latheefa.

Malah berdasarkan undian awam di media sosial, yang dikendalikan sendiri oleh pihak penyokong kerajaan, lebih 95 peratus daripada lebih 10,000 undian bersetuju agar Latheefa melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Banyak yang melihat Latheefa, bekas peguam, aktivitis masyarakat dan ahli PKR itu menggunakan kepercayaan yang diberikan kerajaan untuk menerajui SPRM sebagai tempat untuk membalas dendam politik.

SPRM dikatakan lemah di bawah Latheefa lantaran terlalu memberi tumpuan kepada kes-kes berkaitan Najib dan para pemimpin UMNO, sedangkan banyak lagi kes rasuah lain seolah-olah terabai. Pada masa yang sama kes-kes yang ada kaitan dengan pemimpin pro-Pakatan Harapan seperti kes pegawai kanan Jabatan Air Sabah, yang sebelum ini dikaitkan dengan Shafie Apdal senyap begitu sahaja. Sedangkan setahu aku kes ini belum selesai walaupun Shafie dan beberapa pemimpin parti Warisan yang turut dikaitkan dengan skandal ini telah dibebaskan sejurus PH menguasai Putrajaya.
Apa sudah jadi dengan kes skandal Jabatan Air Sabah?

Lalu yang menjadi persoalan, di mana integriti Latheefa khasnya dan SPRM umumnya dalam menangani kes-kes di negara ini? Apakah mereka diberi kuasa untuk merakam setiap percakapan pemimpin negara, kemudian didedahkan kepada orang awam sebelum disiasat? Apakah menjadi peraturan kerajaan Malaysia yang baharu memberi kuasa penuh kepada SPRM mengalih alih tugas PDRM menjalankan siasatan?

Nampaknya pendedahan Latheefa yang pada sesi sidang akhbar itu kelihatan bukan main seronok mengaibkan orang, kini beliau sendiri seolah-olah dimalukan diri sendiri apabila menerima kecaman pelbagai pihak. Aku rasa eloklah Latheefa mencari kulit badak untuk ditampal di muka sebagai menutup malu.

Lebih parah, pendedahan Latheefa silap-silap membolehkan Najib dibebaskan daripada sebarang dakwaan kerana ada tindakan subjudis terhadap kes yang sedang dibicarakan.


Post a Comment

0 Comments