Malaysia baharu, dasar lapok

Para pejuang anti-PPSMI dahulu. Di mana mereka sekarang ketika PPSMI bakal diperkenalksan semula?
DUA tahun selepas menerajui semula negara melalui Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dilabel Bapa Pemodenan Malaysia semasa menjadi Perdana Menteri Keempat hasil kejayaannya mentadbir negara tahun 1981 sehingga 2003, kelihatan hilang idea.

Jika ketika menjadi PM4 dahulu, banyak pembaharuan dan kemajuan yang dibawa sehingga ramai yang menganggap beliau sebagai PM paling berjaya mengubah landskap pembangunan Malaysia, namun hari ini beliau tidak sehebat dahulu.

Dalam usia 94 tahun, Mahathir yang semakin terdesak untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan meningkatkan semula ekonomi negara sejak perubahan pemerintahan negara hanya mampu menghidupkan semula dasar-dasar lama dan lapok semasa beliau menjadi PM4 lebih 30 tahun dahulu.

Berikut dasar-dasar lapok Mahathir yang dihidupkannya semula:

KERETA NASIONAL
Semasa mencetuskan idea membina kereta nasional pertama, Proton pada tahun 1982, Mahathir dianggap brilian kerana pada masa itu industri pemotoran sedang berkembang pesat di seluruh dunia. Malahan beberapa negara seperti Korea Selatan dan India turut memasuki industri ini yang sehingga kini telah memperkukuhkan jenama kereta masing-masing.

Bagaimanapun cetusan idea untuk mewujudkan semula kereta nasional ketiga (selepas Proton dan Perodua) di zaman milenium ini boleh dianggap satu idea yang lapok. Industri pemotoran dunia pada masa kini kelihatan sudah tepu. Syarikat-syarikat pemotoran dunia baik di Eropah mahupun di Jepun menghadapi masalah dari segi jualan.

Tidak hairan jika syarikat kenderaan seperti Volvo terpaksa dijual kepada Geely (syarikat pemotoran dari China yang turut menguasai Proton). Malah kalau dilihat hari ini tiada lagi syarikat permotoran baharu dari Eropah dan Jepun, melainkan beberapa negara seperti Turki dan India yang memberi tumpuan dalam segmen kenderaan elektrik.

Buktinya lagi, jika pada 1980-an dahulu, Proton mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran yang berminat untuk bekerjasama, namun cetusan idea untuk kereta nasional ketiga negara dipandang sepi. Tidak ada satupun negara termasuk Jepun yang menyatakan minat mereka untuk bekerjasama membangunkan kereta ketiga negara, apatah lagi bercakap soal kereta terbang yang diwar-warkan oleh menteri berkenaan.

Jadi, idea pembinaan kereta nasional ketiga negara yang dicetuskan oleh Mahathir kali ini tidak lagi sebrilion 30 tahun lalu, yang kini dianggap lapok dan ketinggalan.

DASAR PENSYARIKATAN 
Baru-baru ini Mahathir melahirkan cadangan untuk memperkenalkan semula dasar pensyarikatan nasional yang pernah dilaksanakan semasa zaman PM4 dahulu. Dasar ini yang kemudian didapati hanya memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat tertentu (baca: kroni) yang akhirnya memberi beban kepada negara dan rakyat. Contoh lesen IPP kepada beberapa syarikat termasuk YTL, akhirnya memberi beban kepada TNB yang terpaksa membayar kepada pihak IPP selaku orang tengah dalam penyediaan tenaga, yang akhirnya beban itu dipikul oleh rakyat dengan peningkatan tarif elektrik.

Begitu juga dalam konsesi lebuh raya serta lain-lain projek pembangunan seperti Bakun, LRT dan MAS yang kesemuanya mengalami kerugian sehingga menyebabkan kerajaan melalui Khazanah terpaksa bail-out syarikat-syarikat terbabit. Syarikat-syarikat yang lahir dari Dasar Pensyarikatan ketika zaman PM4 itu telah 'ditebus' oleh Najib Razak.

Justeru, jika dasar pensyarikatan ini diperkenalkan semula oleh Mahathir, ia satu lagi dasar lapok Mahathir yang dibawa dalam pemerintahan zaman milenium ini. Dasar yang dahulunya kelihatan brilian tetapi kini sudah lapok dan membebankan.

PPSMI
Sudah dijangkakan PPSMI akan dilaksanakan semula sejurus Mahathir melantik dirinya sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Maszlee Malik. Bukan aku sahaja yang jangkakan demikian malahan para pentadbir sekolah pun sudah menjangkakannya. PPSMI dianggap dasar lapok ketika zaman pemerintahan PM4 dahulu dengan alasan "pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan mempelajari matematik dan sains dalam bahasa tersebut', sedangkan realiti PPSMI telah gagal.

Kajian sudah membuktikan PPSMI tidak mampu meningkatkan kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar malahan pencapaian murid dalam matematik dan sains juga turut merosot terutama dalam kalangan pelajar Melayu di luar bandar.

Justeru, kerajaan BN semasa zaman Pak Lah dan Najib telah membatalkan pelaksanaan PPSMI dan diperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) untuk mata pelajaran sains dan matematik. DLP membuka peluang kepada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih manakala kertas soalan peperiksaan pula menggunakan dwibahasa, di mana murid diberi pilihan untuk menjawab soalan dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu.

Belajar bahasa Inggeris melalui matematik dan sains adalah dasar lapok, ketinggalan zaman memandangkan kiri para pelajar boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (dan bahasa asing lain) melalui internet, media sosial  bahkan menerusi permainan internet.

KESIMPULAN:
Mahathir yang kini berusia 94 tahun bukan lagi Mahathir yang dahulu. Jika beliau masih terus mahu memperkenalkan semula dasar-dasar lama ketika PM4 dahulu, beliau tidak akan mampu membawa negara ke arah lebih maju seperti diharapkan. Mahathir perlu sedar diri bahawa beliau berada di era milenia di mana dasar-dasar zaman PM4 sudah tidak relevan untuk dilaksanakan semula pada hari ini.









Post a Comment

0 Comments