Siapa PM8?


PAKATAN Harapan (PH) sudah berpecah berikutan tindakan Bersatu meninggalkan pakatan yang diketuai oleh DAP itu manakala 11 Ahli Parlimen PKR pula bertindak keluar parti dan menjadi anggota bebas.

Kalau dicongakkan, dengan ketiadaan Bersatu yang mempunyai 26 kerusi di Parlimen dan 11 kerusi PKR pro-Azmin Ali (PKR-B) bermakna PH sudah kehilangan 37 daripada 139 kerusi dalam Parlimen sebelum kemelut ini berlaku menjadikan hanya tinggal 102 kerusi sahaja, sekaligus hilang majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Berikut kedudukan kerusi PH hari ini:

  • PKR (A) : 39
  • DAP : 42
  • Amanah : 11
  • Warisan : 9
  • UPKO : 1

JUMLAH : 102


Ini belum ditolak sembilan kerusi Warisan yang sudah menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Warisan tidak menyertai PH tetapi menyokong kerajaan pakatan itu. Jika Warisan memilih menyokong parti 'pakatan Mahathir' iaitu Bersatu, UMNO/BN, Pas, GPS dan PGS bermakna PH kehilangan 9 lagi kerusi menjadikan PH hanya tinggal hanya 93 kerusi.

Dengan kata lain, biar apapun alasan DAP dan Amanah untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, nyata PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan dan mandat itu akan diserah kepada Muafakat Nasional + Bersatu + PKR (B) + GPS + PGS yang mempunyai kedudukan kerusi seperti berikut:


  • UMNO : 38
  • MIC : 1
  • MCA : 2
  • Pas : 18
  • PKR (B) : 11
  • Bersatu : 26
  • GPS : 18
  • PGS : 4
  • Bebas : 2

JUMLAH : 120

Jika Warisan bergabung dengan pakatan Mahathir, bermakna pertambahan 9 lagi kerusi menjadikan keseluruhan 129, yang sudah cukup untuk mengambil alih Putrajaya daripada PH.

Nah, menariknya siapakah Perdana Menteri Kelapan yang akan dilantik untuk mewakili kerajaan terbaharu hasil gabungan parti-parti Melayu di atas?

Jika dilihat daripada jumlah kerusi Parlimen, nyata UMNO lebih dominan kerana mempunyai 38 kerusi, sekaligus membolehkan PM8 dilantik dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO. Itu adalah kaedah pemilihan yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sejak PM pertama sehingga Keenam.

Jika kaedah BN dipakai, ini bermakna Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO berpeluang menjadi PM8 menggantikan Dr Mahathir yang melepaskan jawatan hari ini.

Bagaimanapun selepas PH menang PRU14, mereka memilih penentuan PM menerusi keputusan Majlis Presiden yang terdiri daripada para pemimpin tertinggi parti politik yang bergabung di bawah PH. Hasilnya Dr Mahathir dipilih sebagai PM7 walaupun pada masa itu Bersatu hanya mempunyai 13 kerusi sahaja, berbanding PKR dan DAP masing-masing 49 dan 42 kerusi.

Namun jika 'pakatan Mahathir' menggunakan konsep pemilihan PH, maka dijangkakan PM8 mungkin dipilih daripada kalangan pemimpin Bersatu, dan calon yang paling dekat adalah Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti.

Tambahan pula Dr Mahathir sendiri sudah melepaskan jawatan Pengerusi Bersatu, bermakna kuasa penuh pentadbiran parti itu kini di bawah Muhyiddin, selepas sekian lama dibayangi oleh Dr Mahathir.

Namun begitu, tidak mustahil nama-nama lain muncul untuk menerajui negara selepas ini, antara yang bakal dipertimbangkan ialah Azmin Ali walaupun mungkin beliau tidak digemari dalam kalangan pimpinan Bersatu, UMNO dan Pas.

Tentu ramai yang bertanya, apakah Najib Razak berpeluang untuk kembali menjadi PM selepas pembentukan kerajaan terbaharu?

Jawapan aku... TIDAK!

Bukan sebab Ahli Parlimen Pekan itu sedang berdepan dengan ratusan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan kemungkinan dia akan dijatuhi hukuman, tetapi kerana sudah tentu tidak akan dipersetujui oleh wakil Bersatu dan PKR (B).

Lagipun dalam keadaan sekarang Najib tidak sesuai untuk dipilih menerajui negara. Lebih baik membiarkan Najib membersihkan namanya terlebih dahulu dan jika semuanya sudah bersih boleh bertanding semula dalam pemilihan UMNO dan juga mempertahankan kerusi Pekan dalam PRU15 nanti.

Jika Najib dapat bangkit semula menerajui UMNO dan menang dalam PRU15, tidak mustahil Najib yang juga PM6 akan kembali menjadi PM9. Siapa tahu kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku.

Dan aku dapat merasakan Najib sendiri tidak berhasrat menjadi PM semula dalam tempoh terdekat, apatah lagi menjadi PM8 menggantikan pemimpin yang menjatuhkannya, memalukan beliau dan keluarganya dan membuat pelbagai tuduhan ke atasnya.

Tidak mungkin.

Post a Comment

0 Comments