Bercinta dengan artis, prestasi pemain bola merosot... betul ke?


BETULLAH orang kata pemain bola ni laris macam pisang goreng panas, terutama dalam kalangan artis. Apa lagi pemain bola yang mewakili pasukan kebangsaan. Kalau aku nak senaraikan agak ramai juga sebenarnya. Ada pemain bola yang berkahwin dengan artis, jauh sebelum David Bechkam mengahwini Posh Spice Girls.

Pemain-pemain bola yang berkahwin dengan artis, yang aku ingat ialah:

  • Subadron Aziz dan Salwa Abdul Rahman
  • Azman Adnan dan Haleeda (bercerai)  dan As Feminin
  • Azlisham Ibrahim dan Wan Khatijah
  • Zaquan Adha dan Ayu Raudhah
  • Aidil Zafuan dan Rita Rudaini (bercerai)
  • Shahril Arsat dan Ani Morat
  • Izham Tarmizi dan Mia Ahmad
  • Khairul Fahmi Che Mat dan Lieuney Natasha
  • Haziq Nadzli dan Eyra Hazali

Yang menariknya, kebanyakan pemain bola sepak ini biasanya prestasi mereka menurun dan akhirnya hilang dari senarai pemain utama kebangsaan mahupun liga tempatan. Bukan semualah tetapi kebanyakannya. Mungkin mereka berkahwin ketika prestasi mereka memang sedang menurun.

Kecuali beberapa pemain yang masih mampu bertahan sehingga hari ini anraranya Aidil Zafuan, walaupun kisah rumah tangganya agak panas selepas bercerai dengan Rita namun sehingga kini beliau masih menjadi pilihan jurulatih untuk mengemudi barisan pertahanan negara.

Sebetulnya aku sengaja bangkitkan isu pemain bola sepak tempatan yang berkahwin dengan artis ini apabila tersebar kisah percintaan pemain yang sedang mencipta nama Safawi Rasid dan pelakon baharu, Syifa Melvin.

Isunya, prestasi Safawi dikatakan merosot sejak akhir-akhir ini didakwa berikutan terganggu dengan desakan Syifa untuk agar mengahwininya dengan segera sehingga ditegur oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor.

Safawi adalah pemain yang paling bernilai untuk JDT dan skuad kebangsaan sebagai mesin pencetak gol tetapi sejak akhir-akhir ini beliau gagal menampilkan persembahan terbaiknya. Safawi kemudian mengadu kepada TMJ tentang "gangguan" daripada kekasihnya Syifa, yang juga adik kepada pelakon Syatilla Melvin.


Ekoran itu TMJ telah memuat naik di Instastory seakan-akan memberi teguran keras ditujukan kepada Syifa agar tidak terlalu menekan kekasihnya bagi memastikan prestasi Safawi berada di tahap terbaik, terutama ketika Liga Malaysia 2020 baru bermula.

Bagi aku, Safawi masih muda dan prestasinya sedang melonjak maka beliau tidak seharusnya terganggu dengan kehidupan peribadi atau campur tangan pihak lain. Dia adalah permata negara, jangan sampai prestasinya merudum ketika baharu mencipta sedikit kejayaan.

Safawi kena pandai mengatur diri agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar padang. Contohilah Aidil, bagaimana beliau kisah peribadinya tidak terjejas sama sekali, malah masih mampu bertahan sehingga hari ini. Dalam hal ini keluarga Safawi perlu menjadi pendorong semangat kepadanya manakala Syifa juga perlu memahami keadaan.

Benar, pemain bola sepak digilai ramai gadis. Pemain bola sekarang juga glamor bak selebriti apatah lagi mereka diketahui mempunyai pendapatan cukup tinggi selaku pemain profesional. Jadi sudah tentu ramai yang berusaha untuk mendampingi mereka.

Jadi Syifa sebagai artis dan turut hidup dalam dunia glamor sudah tentu memahami kedudukan Safawi. Jangan ganggu hidupnya dan fahamilah tugas seorang pemain bola profesional. Jauhkan sifat-sifat cemburu dan lain-lain. Bak kata Ustaz Kazim Elias, kalau dah jodoh tak akan ke mana.

Jadikanlah teguran TMJ sebagai ingatan. Aku bersetuju Safawi dan Syifa perlu ditegur supaya mereka sedar tentang kedudukan masing-masing.

Safawi adalah harapan negara, harapan JDT dan juga harapan para peminat bola sepak negara termasuk aku untuk membawa nama seluruh pasukan ke peringkat tertinggi. Jangan semuanya musnah hanya kerana seorang wanita!

Post a Comment

0 Comments