Mudahnya jadi rakyat Malaysia?

Aku tertarik dengan laporan berita ini...
PUTRAJAYA 28 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan kesemua 32,900 permohonan rakyat asing untuk menjadi warganegara Malaysia yang tertangguh sebelum hujung tahun ini.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, sehingga kini lebih 50 peratus daripada jumlah tersebut sudah pun siap. - Utusan Malaysia, 29 Ogos 2009.
Dan aku tertanya-tanya, dari mana saja mereka ini? Begitu ramai sekali yang memohon menjadi warganegara kita. Bayangkan jika permohonan hampir 33,000 orang ini diluluskan sudah pasti jumlah rakyat negara kita akan bertambah.

Tertanya-tanya juga aku, apakah fenomena ini baik untuk negara atau sebaliknya? Bayangkan kebanyakan negara maju begitu liat untuk memberikan taraf warganegara kepada orang asing melainkan mereka benar-benar boleh memberi keuntungan kepada negara terbabit. Sebaliknya Malaysia begitu bangga sebab telah meluluskan berpuluh-puluh ribu permohonan untuk menjadi rakyat Malaysia.

Singapura memberi taraf warganegara kepada ramai ahli sukan, golongan profesional dan bintang filem asing. Ini bagi membolehkan Singapura berdaya saing dan maju dalam bidang berkaitan hasil sumbangan warga asing yang diberi kerakyatan ini.

Malaysia pula aku tidak pasti. Setakat ini setahu aku cuma Yuan Yu Fang, pelumba jalan kaki asal China yang diberi kerakyatan negara ini untuk bersaing di Sukan Komanwel 1998 dulu. Seorang lagi Mohd. Hidayat Hamidon (Indonesia - angkat berat). Kalau tak salah aku, dulu pemain golf terkemuka dunia dan pernah menjadi pesaing utama Tiger Wood, Vijay Singh yang isterinya orang Malaysia pernah mohon kerakyatan Malaysia tetapi ditolak! Akhirnya dia memilih jadi warganegara Fiji.

Lain-lain pemohon setahu aku adalah para pendatang asing yang lama menetap di sini. Latar belakangnya tidak diketahui. Apakah mereka ini adalah sebahagian pendatang asing yang bekerja di ladang, buruh binaan, berniaga secara haram di pasar-pasar? Lalu tertanya-tanya aku, apa yang boleh mereka sumbangkan untuk negara?

Aku bukan apa, cuma memikirkan begitu mudahnya orang asing diberi kerakyatan sedangkan mereka tidak kenal Rukun Negara dan tidak tahu pun menyanyikan lagu Negaraku. Sebab sekali mereka memperoleh kerakyatan, segala kemudahan kepada rakyat mereka turut menikmatinya.

Bayangkan kalau warganegara cuma bayar RM2 untuk mendapat khidmat kesihatan di hospital kerajaan sebaliknya warga asing dikenakan bayaran beratus-ratus, siapa tidak mahu jadi warganegara Malaysia? Itu belum lagi kemudahan buku teks percuma kepada anak-anak!

Post a Comment

10 Comments

  1. Tertarik dengan artikel anda. Sebenarnya bukan senang hendak menjadi warganegara Malaysia. Prosedurnya memakan masa yang lama. Inilah yang terjadi kepada suami saya pemegang kad pengenalan merah warganegara Indonesia. Dia telah menetap di Malaysia selama 26 tahun dan berkahwin dengan saya warganegara Malaysia selama 18 tahun. Menunggu hampir 10 tahun untuk fail dia sampai ke KDN untuk temuduga terakhir dan akhirnya kami menerima surat dukacita dari KDN. Tidak tahu dimana salah-silapnya sehingga permohonannya ditolak. Jika mengikut perkiraan saya suami saya telah memenuhi syarat wajib menjadi warganegara iaitu fasih berbahasa Melayu ( sehingga orang tidak tahu dia orang Indonesia) dan tiada rekod jenayah. Membayar cukai pendapatan dan mengeluarkan zakat pada setiap tahun. Seorang suami yang baik ( sangat patuh pada agama - jangan kata sembahyang 5 waktu segala sembahyang sunat dilakukan ) dan seorang bapa yang penyayang. Biasalah orang baik selalu teraniaya. Sebenarnya saya kecewa dengan pegawai2 KDN yang tidak membuat penilaian teliti untuk memberi taraf warganegara. Orang Indonesia yang bercakap Melayu tapi pelat Indonesia yang diberi taraf warganegara. Kami diminta membuat permohonan baru ( tidak tahu berapa tahun lagi kami harus menunggu ) Kenapa mereka hendak menjadi warganegara Malaysia? Bukan kerana hendak mengejar kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Kata suami saya dia ibarat berada di tengah2 laut antara Malaysia dan Indonesia. Kad pengenalan milik kerajaan Malaysia dan pasport milik Indonesia. Tiada apa lagi yang tinggal di Indonesia kerana separuh usianya dihabiskan di Malaysia. Sebenarnya kita beruntung menjadi warganegara Malaysia kerana kerajaan kita prihatin terhadap rakyatnya. Terlalu banyak bantuan dan kemudahan diberikan oleh kerajaan tapi kita jarang menghargainya. Di Indonesia orang yang benar-benar mampu sahaja yang dapat menghantar anak ke sekolah kerana tiada bantuan dari kerajaan. Kita di Malaysia kalau boleh semua hendak percuma. Bila kerajaan naikkan sikit yuran banyak ibubapa bersungut. Hargailah kad pengenalan biru anda kerana tidak semudah itu untuk memilikinya dan gunakan taraf warganegara anda sebaik-baiknya untuk kebaikan agama dan negara tercinta. Jangan asyik tanya apa kerajaan Malaysia bagi pada kita. Sesekali kita tanya apa yang kita dapat beri kepada kerajaan untuk meringankan beban kerajaan kerana kerajaan kita sangat kompromi dengan permintaan rakyat.

    ReplyDelete
  2. KDN tidak akan meluluskan permohonan andainya yang memohon itu dari bangsa melayu,jawa,bugis...tetapi akan dengan senang hati akan meluluskan permohonan menjadi warganegara jika mereka adalah berbangsa CHINA atau INDIA.kalau tak percaya,lihat sendiri peratusan bangsa yang diluluskan oleh KDN MALAYSIA.

    ReplyDelete
  3. Sedih jugalah kalau KDN berpendirian sedemikian. Buruk-buruk orang jawa, bugis, minang mereka masih orang islam. Kalau jadi apa-apa kat negara ini mereka ini yang juga akan ikut sama mempertahankan kedaulatan negara ini kerana kita ni satu rumpun lagi pula kalau dikaji sejarah mereka ni memang suka merantau dan nenek moyang kita pun banyak berasal dari tanah seberang. Sebenarnya kalau ikut patrotik suami saya lagi patriotik berbanding saya. Dia sanggup berjaga tengah malam menengok keputusan PRU. Selangor jatuh ke tangan pembangkang dia yang berlebih sedih dari saya. Apo nak dikato jang... tolan ajo la.

    ReplyDelete
  4. Mungkin dah tiba masa Menteri Dalam Negeri dari kalangan pemimpin yang lebih tegas dan berani. Aku rasa Noh Omar sesuai jaga KDN. Lihatlah cara dia selesaikan isu tong ikan plastik yg dibantah oleh pengimport ikan & peniaga. Menteri macam ini patut jaga kementerian yg penting macam KDN sepatutnya.

    ReplyDelete
  5. kepada saudara mesin taip buruk,
    mendapatkan taraf warganegara bukanlah semudah yang disangka... malah bukan semua pemohon adalah warga asing... ramai antara mereka adalah mangsa keadaan seperti saya yang merupakan anak seorang warganegara malaysia yang dilahirkan di luar negara. ketidakarifan ayah saya dalm sistem pendaftaran negara menyebabkan saya tidak layak diberi status warganegara... dan tuduhan encik yang menyatakan bhw pemohon tidak tahu lagu rasmi negara dan rukun negara adalah kurang tepat... ramai antara mereka adalah graduan sarjana muda, sarjan malah doktor falsafah... penganugerahan taraf warganegara kepada golongan ini tidak sesekali akan menggangu gugat malah akan membantu negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020... fikir fikirkanlah...

    ReplyDelete
  6. Anis82: Pandangan aku didasarkan kepada begitu banyak org India dan Cina diberi kerakyatan. Aku bimbang ada pihak2 di dalam negara ini sengaja mengimport org India dan Cina dari negara India dan China dan kemudian membuat rayuan (menggunakan kuasa politik) agar kerajaan memberi kerakyatan kepada mereka. Bayangkan jika komposisi kaum di Malaysia berubah apabila kaum bukan Melayu menjadi kaum majoriti (melalui kaedah ini), apa akan jadi dengan kaum Melayu?

    Mungkis kes Anis adalah kes terpencil tetapi kebimbangan aku berlandaskan kepada jumlah kerakyatan yang diberikan kepada kaum lain selain Melayu.

    ReplyDelete
  7. saudara mesintaipburuk,
    terlebih dahulu keprihatinan saudara terhadap perubahan komposisi amat saya hargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih...
    untuk pengetahuan saudara, kes saya bukanlah kes terpencil, malah boleh dikatakan majoriti kes kesukaran mendapatkan taraf warganegara adalah berkisar kepada soal teknikal seperti saya... ini adalah kerana taraf warganegara tidak akan sewenang- wenangnya diberikan kepada sesiapa sahaja.. jika kes seperti saya, perlu menunggu selama 16 tahun untuk mendapatkan status penduduk tetap atau ic merah.. selepas itu, dikehendaki memegang ic merah selama 12 tahun sebagai kelayakan minimum sebelum layak memohon taraf kewarganegaraan. dan permohonan itu sendiri perlu melalui pelbagai tapisan seperti ujian bahasa dan temuduga sebelum dihantar ke ibu pejabat polis untuk dikaji sejarah kesalahan dari segi undang - undang... dan keseluruhan proses dari tarikh permohonan kewarganegaraan ke tarikh keputusan diumumkan akan memakan masa 3 - 5 tahun (minimum).Secara keseluruhannya, perlu habiskan masa dari 28 ke 30 tahun untuk akhirnya mendapatkan status berkenaan. dan itu pun tanpa mengambil kira jika permohonan ditolak dan perlu failkan permohonan baru... dan proses panjang ini tidak mengira kriteria pemohon... walaupun pemohon menyumbang dari pelbagai aspek - terutamanya pembayar cukai pendapatan kepada kerajaan, berpendidikan tinggi dan bekerja dalam pelbagai cabang ekonmi dan perkhidmatan, namun masih alami kesukaran mendapatkan status ini... malah pandangan saudara bahawa kemungkinan ada pihak mengimport kaum lain lalu merayu untuk taraf warganegara juga mungkin adalah kebimbangan tidak berasas. kerana begitu byk dokumen yg perlu disertakan setiap kali permohonan dibuat, bermula dari pasport, permit masuk, ic akan diperiksa dengan teliti ketulenan sebelum didaftarkan mana- mana permohonan. hakikatnya pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga seperti saya tidak semestinya membawa kemudaratan semata - mata kerana sumabangan setiap pihak amat penting dalam merealisaikan aspirasi kerajaan

    ReplyDelete
  8. Tak sangka topik ni menarik perhatian pulak walaupun dah lama diposkan. Anyway terima kasih kpd Anis atas penjelasan panjang lebar. Kalau ikut kata Anis tu pandangan aku bahawa nak dapatkan kerakyatan Malaysia semudah "ABC" tak betullah. Alhamdulillah... Sekurang2nya tindakan kerajaan yang menyaring ketat mereka yg nak jadi rakyat Malaysia sekurang2nya memberi kelegaan kepada aku. Sorrylah Anis. Bukan aku tak suka dgn org yg nak jadi rakyat Malaysia ni tetapi banyak sebab yang aku risaukan. Mungkin mcm kebimbangan Aussie tengok ramai sangat muka2 Asia kat Australia... Sekarang ni kat KL bukan takat muka Melayu, India, Cina, Indon, Bangla, Vietnam, Kemboja saja yang ada tapi ramai juga Mat2 Hitam Afrika, muka2 Balkan dr Asia jauh (negeri *khan) dan mcm2 lagi...

    Aku doakan usaha Anis & suami Pari2 memperoleh kerakyatan Malaysia secepat mungkin....

    ReplyDelete
  9. saudara mesintaipburuk
    sebenarnya banyak pihak di luar sana yang salah sangka ttg benda ini... rasanya normal la tu... tentang Aussie pula, rasanya pandangan diorang sendiri pun tak boleh pakai, sebab golongan yang menggelarkan diri mereka Aussie ni sebenarnya bukan golongan peribumi Australia. tetapi bukan setakat menjadi ancaman malah telah menyebabkan kaum peribumi Australia seolah - olah hilang dari bumi mereka sendiri. terpinggir dari pelbagai sudut terutamanya penguasaan politik dan ekonomi. kerajaan malaysia telah lama mengambil langkah berjaga - jaga agar Malaysia tidak berubah menjadi Australia dan bbrp negara dunia lain di mana kaum pribumi dinafikan hak di bumi sendiri... Contoh paling jelas ialah pengenalan Dasar Ekonomi Baru, penubuhan Mara dan pelbagai institusi lain bagi mengimbangi dan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum dan memastikan kaum Melayu selaku kaum pribumi tidak ketinggalan dan dapat sama - sama bersaing dengan kaum lain...dan pengenalan pelbagai bentuk bantuan ini selalu di salah anggap oleh ramai pihak dengan menuduh kerajaan pilih kasih dan memanjakan kaum Melayu... Tuduhan ini juga sebenarnya tidak berasas kerana jauhnya jurang ekonomi antara melayu dan bukan melayu bukanlah disebabkan sikap orang melayu, tetapi lebih kepada sistem pecah perintah yang diamalkan british selama ratusan tahun berada di tanah melayu...
    fikir - fikirkanlah...

    ReplyDelete
  10. terima kasih... Setuju dgn anis!

    ReplyDelete

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.