Elaun kritikal: JPA membelakangi Kabinet?

Doktor-doktor di Malaysia dikatakan menerima bayaran gaji yang rendah berbanding beban tugas dan tempoh masa bekerja  mereka.
Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menamatkan pemberian elaun kritikal kepada kakitangan awam terbabit termasuk para pegawai perubatan dan jurutera mulai pengambilan 1 Januari 2020 mencetuskan tanya-tanya sama ada arahan itu membelakangi Kabinet atau sebaliknya.

Ini berikutan maklum balas dari beberapa menteri Kabinet yang seolah-olah terkejut dengan keputusan tersebut walhal kebiasannya sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan perlu mendapat persetujuan barisan Kabinet terlebih dahulu.

Antara menteri Kabinet yang memberi maklum balas segera berhubung pemberhentian pemberian Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jika Dr. Dzulkefly berharap penjelasan lebih baik daripada JPA berhubung pekeliling tersebut, sebaliknya Syed Saddiq pula memnbuat bantahan secara langsung memandangkan tindakan tersebut dianggap tidak wajar.

Beliau sebaliknya mahukan JPA membuat pemotongan elaun melibatkan ahli-ahli politik dan para  menteri.

"Potong elaun ahli politik dan menteri, bukan elaun kritikal bagi doktor, farmasi dan jururawat muda. Saya bantah pekeliling JPA yang melibatkan banyak anak muda dalam sektor kerajaan," katanya dalam akaun twitternya hari ini.

Sementara itu, JPA dalam kenyataan memaklumkan BIPK yang dilaksanakan sejak 1992 bukanlah elaun tetap dan kekal sebaliknya berdasarkan keperluan serta ia akan dikaji semula setiap lima tahun sekali.

Lalu, apakah selama ini para menteri Kabinet khususnya Dr. Dzulkefly dan Syed Saddiq tidak mengetahui tentang kedudukan BIPK yang bersifat sementara dan jika mengetahuinya, kenapa sebelum pekeliling dikeluarkan JPA, tiada sebarang bantahan daripada pihak menteri Kabinet.

Atau apakah JPA telah membelakangi Kabinet ketika membuat keputusan untuk memberhentikan pemberian BIPK kepada pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020 dan apakah para menteri Kabinet tidak mempunyai WhatsApp Group dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sehinggakan keputusan-keputusan melibatkan rakyat seperti ini tidak dibincangkan terlebih dahulu.

Justeru amat malang bagi negara dan rakyat kerana mempunyai kerajaan yang bukan sahaja lemah dalam soal tadbir urus ekonomi negara, malahan juga komunikasi antara para menteri Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan.

Nota:
Ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seorang doktor perubatan ingatkan menambah baik benefit kepada doktor-doktor di Malaysia, rupanya terjadi sebaliknya. Patutlah mereka beri undi dan sokongan tidak terhingga kepada PH dalam PRU14 lepas, rupanya mengharapkan elaun mereka ditarik berbanding zaman BN yang asyik beri dedak kepada mereka.



Catat Komen

0 Ulasan