MMA lancar petisyen desak kekalkan elaun kritikal

Kebanyakan doktor muda terpaksa korbankan waktu tidur dan makan mereka kerana tugas. - Gambar hiasan
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menggerakkan satu petisyen bagi mendesak agar kerajaan mengekalkan elaun kritikal atau Bantuan Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada doktor-doktor dan para kakitangan awam sektor kesihatan yang turut terjejas,

Petisyen yang diwujudkan melalui Change.org sehingga kini telah menarik lebih 50,000 tanda tangan orang awam dalam tempoh kurang daripada 24 jam sejak dilancarkan semalam.

Naib Pengerusi MMA, Dr Vijay Ganasan, penarikan elaun BIPK ini bukan sahaja mengurangkan 15 peratus pendapatan para pegawai perubatan terbabit malahan turut menjejaskan moral mereka untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Menurutnya, penarikan elaun tersebut sepatutnya tidak perlu melibatkan para pegawai perubatan, pergigian, farmasi dan jururawat memandangkan jumlah mereka masih belum mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang sentiasa bertambah.

"Kerana kekurangan pegawai perubatan, kami rela berkorban untuk bekerja lebih masa, korbankan makan tengah hari dan malam kami, demi memastikan para pesakit mendapat rawatan dengan segera dan sebaik mungkin," katanya menerusi petisyen tersebut.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menarik balik pekeliling tersebut terutama melibatkan kakitangan sektor kesihatan dan mengekalkan elaun BIPK kepada mereka sebanyak RM750 seperti sebelum ini.


Catat Komen

0 Ulasan