Kes pesta dadah uji 'integriti' IGP, AG

Apakah kes pesta dadah dan seks membabitkan ADUN dan pegawai menteri ini akan dibakulsampahkan sepertimana kes semburit dan terowong dasar laut? Tunggu dan lihat. - Gambar Hiasan
Heboh hari ini tentang seorang ADUN di Selangor serta beberapa pegawai kanan menteri Bersatu terlibat dalam pesta seks dan dadah di sebuah kondominium di Puchong, satu tamparan hebat kepada parti dan kerajaan.

Dalam serbuan di sebuah kondo, polis menahan 17 individu termasuk enam wanita tempatan dan asing manakala ujian air kencing mendapati hanya seorang sahaja yang negatif, manakala yang lain termasuk ADUN dan dua pegawai menteri didapati positif.

Namun yang menjadi persoalan sekarang, apakah kes ini akan senasib dengan kes-kes jenayah lain yang membabitkan menteri, ADUN atau pegawai dari parti kerajaan hari ini? Dibuang di dalam bakul sampah, baik oleh polis mahupun Pejabat Peguam Negara.

Ramai yang membayangkan jika benar ADUN dan para pegawai menteri itu terlibat, mereka sama ada akan dibebaskan tanpa pendakwaan seperti mana kes semburit yang didakwa mirip seorang menteri kanan atau seperti kes rogol oleh ADUN di Perak, yang senyap begitu sahaja.

Kad ahli parti kena curi kut?
Jika kes pesta dadah dan seks ini dibakulsampahkan seperti kes semburit, rogol amah atau kes terowong dasar laut, aku yakin dan percaya rakyat akan hilang keyakinan terhadap pihak berkuasa khususnya Polis DIraja Malaysia (PDRM).

Rakyat melihat kes ini adalah satu lagi ujian untuk melihat sejauh mana integriti Ketua Polis Negara, Hamid Bador atau Peguam Negara, Tommy Thomas dalam menegakkan keadilan apabila berhadapan dengan kes-kes membabitkan pegawai kerajaan hari ini.

Apakah ADUN dan para pegawai menteri serta yang terlibat dalam pesta dadah itu akan dibebaskan tanpa dibicarakan atau akan didakwa tetapi kemudian akan digugurkan oleh Peguam Negara?

Inilah yang sedang diperhatikan oleh rakyat. Jika kes ini dilepaskan lagi, aku yakin dan percaya apa yang dilaungkan oleh pemimpin kerajaan hari ini terutama Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng atau Mat Sabu bahawa sistem kehakiman negara telah dilacurkan, maka yang melacurkannya adalah mereka sendiri setelah berjaya menjadi kerajaan.

Menteri berkenaan boleh menggunakan masjid untuk mengadakan doa selamat selepas terlepas daripada pendakwaan berhubung kes semburit, tetapi rakyat bukan buta atau rabun sehingga tidak boleh bezakan siapa di dalam rakaman video berkenaan.

Rakyat juga bukan bodoh untuk cepat menghukum pelaku dalam rakaman audio yang didedahkan Latheefa dan SPRM kepada umum sebelum siasatan dibuat serta menggunakan "galeri awam" untuk menghukum individu di dalam rakaman tersebut.

Bukan, bukan... ini tahun 2020 zaman Malaysia maju mengikut acuan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Mahaday sendiri. Jadi sudah tentu mereka boleh membezakan mana yang hak dan mana yang bathil.

Jadi, inilah masanya untuk kerajaan yang dilaungkan sebagai penyelamat negara semasa kempen PRU14 dulu untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar sebagai penyelamat dan bukannya pemusnah, termasuk dalam soal integriti dan kehakiman negara.

Rakyat pernah menghukum BN dan menaikkan PH. Jadi, tidak mustahil rakyat juga boleh menghumban PH dan menaikkan semula BN (atau Muafakat Nasional) dalam PRU-15 akan datang.

Lacurkanlah lagi sistem perundangan negara!!

Catat Komen

0 Ulasan