Mahathir tidak banyak pilihan isi jawatan menteri


Khabarnya Perdana Menteri akan membuat rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, rombakan yang terpaksa dilakukan.

Belum apa-apa lagi, beberapa pemimpin DAP selaku abang besar dalam kerajaan PH sudah bersuara agar pelantikan pengganti Maszlee perlu mendapat persetujuan bersama, dan bukan dibuat oleh Perdana Menteri seorang.

Banyak pihak melihat DAP berusaha menggunakan pengaruhnya dalam menentukan pengganti Maszlee, yang sudah tersebar khabar angin yang parti itu mahu mendesak Perdana Menteri melantik wakil dari kaum Cina sebagai menteri penuh, dalam hal ini menaikkan pangkat Teo Nie Ching, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan sekarang.

Semalam, Mahathir yang seolah-olah tahu ada usaha-usaha untuk mempengaruhi beliau dalam melantik Menteri Pendidikan khususnya, menegaskan pelantikan seorang menteri Kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, sekali gus menutup sementara mulut pihak-pihak tertentu.

Namun begitu, aku melihat Dr. Mahathir sebetulnya begitu sukar untuk mencari pengganti Maszlee, bukan kerana bekas menteri itu terlalu hebat, tetapi kerana kualiti Ahli-ahli Parlimen PH yang ada sekarang tidak dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh beliau.

Selain perlu "lebih kelihatan cerdik" daripada Maszlee, Mahathir juga perlu mencari pengganti yang mudah beliau kawal, tidak seperti Maszlee yang katanya telah membuat tindakan-tindakan yang tidak disenangi Perdana Menteri (atau mungkin kroni-kroninya) termasuk dalam isu tulisan jawi, bantuan sarapan pagi dan isu internet ke sekolah.

Mahathir sudah tentu perlu berhati-hati agar pelantikan menteri kali ini tidak tersalah lantik seperti menteri yang tidak mempunyai kelulusan yang sah, gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik dan menteri yang tidak mampu menjalankan kerja tetapi lebat dalam soal bercakap.

Selain itu, Mahathir juga perlu mengimbangi barisan Kabinetnya yang pada hari ini didominasi oleh kaum bukan Melayu sehingga dikhabarkan beliau langsung tidak boleh bercakap soal kepentingan Melayu dan Islam dalam mesyuarat Kabinet kerana dibantah oleh pemimpin lain.

Dan Mahathir juga perlu mencari lebih ramai Ahli Parlimen dari Bersatu untuk mengimbangi wakil-wakil dari parti lain terutama dari DAP dan PKR selain Amanah, sedangkan jumlah Ahli Parlimen Bersatu sangat terhad.

Tidak hairan apabila beberapa nama mantan menteri UMNO terutama Mustapa Mohamed telah disebut-sebut untuk mengisi kekosongan yang ada, selain menarik anaknya Mukhriz ke Pusat.

Malah adalah tidak mustahil jika Mahathir terpaksa melantik wakil dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya dari PBB untuk mengisi kuota "menteri Melayu" dalam Kabinetnya.

Atas sebab kesukaran itulah, Mahathir mengambil masa begitu lama untuk mengisi kekosongan beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri dan rombakan Kabinet yang diharapkan oleh rakyat bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh beliau.

Beliau juga berdepan dengan desakan pemimpin DAP yang cuba meletakkan "orang mereka" dalam portfolio penting termasuk kerusi Menteri Pendidikan selain sudah menguasai Kementerian Kewangan dan hal ehwal undang-undang.

Dan tidak mustahil Mahathir melantik diri sendiri untuk mengepalai Kementeri Pendidikan, walaupun semasa awal penubuhan kerajaannya dua tahun lalu mendapat bantahan kuat dari DAP.

Atau apakah Muhyiddin kembali ke Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri mengetuai Kementerian Dalam Negeri? Sebabnya ini sahaja pilihan yang Mahathir ada.

Siapa tahu kan?

Post a Comment

0 Comments