Pakatan Nasional? Tanyalah akar umbi dahulu

Pakatan Nasional menggabungkan UMNO, Bersatu, PKR pro-Azmin dan Pas. - Gambar hiasan
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan membawa usul penggabungan parti itu dengan Bersatu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Usul tersebut akan dibawa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) minggu ini.

Penggabungan itu diusulkan susulan tindakan Pas, memberikan sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15 serta bagi mengekang DAP daripada terus berada di dalam kerajaan di samping mengelak daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Gabungan sebahagian parti gabungan Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional itu akan dinamakan Pakatan Nasional yang jika menjadi kenyataan akan meninggalkan DAP, PKR (pro-Anwar) dan Amanah sebagai parti pembangkang.

Walaupun Ketua Penerangan UMNO, Shamsul Anuar Hanazlah berkata, ia baru gambaran awal Presiden dan belum ada sebarang keputusan dibuat, namun ia menjelaskan lagi dakwaan Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini bahawa wujud gerakan sulit untuk membolehkan UMNO menjadi kerajaan melalui pintu belakang.

Lokman yang sebelum ini mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai orang yang diberi tanggungjawab oleh Presiden UMNO untuk berunding dengan Dr. Mahathir bagi membolehkan UMNO membentuk kerajaan bersama Bersatu dan sebahagian Ahli Parlimen PKR yang pro kepada Datuk Seri Mohd Azmin Ali di samping Pas dan parti-parti lain di bawah BN.

Susulan dakwaan itu, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membuat keputusan untuk memanggil Hishammuddin kerana telah melanggar Perlembagaan dan tata etika parti namun dibatalkan di saat akhir selepas mendapat arahan daripada pucuk pimpinan parti.

Ekoran itu, Apandi telah melepaskan jawatannya kerana tidak berpuas hati apabila lembaga itu yang sepatutnya menjadi badan bebas yang tidak terikat dengan arahan pucuk pimpinan parti tetapi terjadi sebaliknya.

Dalam hal ini, Zahid sewajarnya mendapatkan pandangan daripada akar umbi sama ada menyokong penubuhan Pakatan Nasional atau sebaliknya memandangkan ahli-ahli di semua peringkat juga sepatutnya diberi peranan untuk menentukan hala tuju parti.

Zahid tidak boleh bertindak bersendirian atau hanya mendapatkan pandangan serta sokongan daripada kalangan ahli-ahli MT semata-mata tetapi sebaiknya turun padang untuk mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi.


Baca juga: Layakkah Zahid menakhodai UMNO?

Ini kerana kita semua maklum Dr Mahathir adalah pemimpin yang menggerakkan penubuhan Bersatu yang dikemudiannya membawa para pemimpin dan ahli-ahli UMNO menyeberang ke parti serpihan itu serta menentang UMNO/BN dalam PRU14 sehingga mereka mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan bersama DAP.

Bagi kalangan akar umbi UMNO, tindakan Dr Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin UMNO lain tidak boleh diterima dan mereka juga menolak penyertaan semula pemimpin yang mengkhianati parti.

Oleh sebab itulah, jika Zahid benar-benar mahu membentuk kerajaan Pakatan Nasional beliau sepatutnya mendapatkan sokongan akar umbi dan adalah lebih baik jika UMNO mengadakan mesyuarat agung khas bagi membincangkan perkara tersebut.

Lagipun, perkara ini bukan lagi menjadi rahsia dan UMNO tidak boleh lagi cuba menutup gerakan sulit itu, yang akhirnya nanti mereka ditolak oleh akar umbi.

Samada Lokman bersalah kerana mendedahkan mesyuarat sulit parti atau tidak, atau sama ada ia baru cadangan awal atau sebaliknya, yang pasti gerakan itu memang ada dan difahamkan perkara ini tidak disenangi oleh ahli-ahli di peringkat bawahan.



Catat Komen

0 Ulasan