Pemimpin UMNO jangan dayus!

Aku harap tak ada pemimpin UMNO jadi dayus menagih kasih dengan Mahathir untuk menjadi kerajaan melalui pintu belakang. - Gambar sekadar hiasan

LOKMAN Adam tuduh Zahid terbabit dengan politik wang masa pemilihan UMNO 2018 lalu. Dia kata laporan SPRM sudah ada di atas meja Tun Mahathir. Sebab itulah Zahid beriya-iya nak bekerjasama dengan Mahathir dan Bersatu untuk tubuhkan Pakatan Nasional.

Tuduhan Lokman itu amat berat apatah lagi beliau sebagai ahli MT UMNO. Bagi aku sama ada dakwaan Lokman itu betul atau fitnah kenalah siasat, bukan sahaja oleh lembaga disiplin parti (yang khabarnya belum ada ketua selepas Apandi Ali lepas jawatan) atau pun pihak berkuasa.

Sebelum ini dalam satu video yang didedahkan oleh Lokman, Zahid dalam ucapan dalam satu mesyuarat UMNO mendakwa Pakatan Nasional atau apa sahaja nama yang akan diberikan adalah untuk menyelamatkan Datuk Najib yang sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan 1MDB di mahkamah.

Maknaya kalau UMNO dan Bersatu bergabung membentuk kerajaan Pakatan Nasional, tanpa PKR dan DAP maka semua kes-kes yang dihadapi oleh Najib akan digugurkan. Mungkin itu maksud selamatkan Najib yang disebut Zahid, walaupun aku tahu dan Najib pun pernah sebut jangan ada sesiapa bantu beliau kerana dia boleh handle sendiri kesnya. UMNO pun dia tak kasi masuk campur.

Tiba-tiba Zahid kata dia nak selamatkan Najib. Tapi pada masa sama Zahid sendiri berdepan dengan puluhan tuduhan oleh SPRM di mahkamah. Itu belum masuk kes politik wang yang didedahkan oleh Lokman, katanya boleh menggugat Zahid sebagai Presiden UMNO.

Ada juga dakwaan idea penubuhan Pakatan Nasional datang dari Mahathir sendiri apabila dia menyeru penyatuan parti-parti Melayu semasa berucap dalam satu majlis Bersatu baru-baru ini. Aku dimaklumkan kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri tidaklah kuat mana. Yelah, PM dengan jumlah 13 parti dalam kerajaan mana nak kuatnya.

Pakatan Nasional juga dikatakan jalan belakang untuk menghalang Anwar Ibrahim naik sebagai PM8. Mahathir seboleh-bolehnya tidak akan membenarkan Anwar jadi PM kerana sebelum sedia maklum tentang sejarah hubungan Mahathir-Anwar sekitar tahun 1990=an dahulu sampailah Anwar dipecat oleh Mahathir.

Lalu persoalanya Pakatan Nasional ini nak selamatkan siapa? Apakah nak selamatkan Zahid? Najib? atau Mahathir sendiri?

Bagi aku, aku memang menyokong jika semua parti-parti Melayu ini bersatu atau bergabung baik di bawah satu pakatan atau saling mendukung, tetapi apapun biarlah untuk agama, bangsa dan tanah air dan bukannya nak selamatkan tengkuk masing-masing.

Aku memang seronok apabila UMNO dan Pas duduk bersama di bawah satu payung Muafakat Nasional. Tetapi bila ada ura=ura UMNO nak bersama Bersatu, aku mula gusar dan bimbang andai segalanya hanyalah atas tujuan peribadi, bukan untuk kepentingan bangsa.

Yelah, aku memahami betapa sakit dan peritnya orang UMNO apabila kalah dalam PRU-14 di tangan bekas pemimpin UMNO sendiri yang dahulunya disanjung tinggi, dan lebih perit lagi apabila UMNO dihina sehinanya oleh Mahathir selepas mereka menang.

Tidak cukup dihina dan dinista UMNO dan Pas, orang-orang Melayu juga diperlekeh, dianggap pemalas dan ketinggalan.

Akar umbi sudah menerima ketentuan dengan kekalahan dalam PRU lepas selepas 60 tahun memerintah, dan mereka sudah mula bangkit dan penuh tekad dan semangat untuk merampas kembali Putrajaya dan seluruh negeri di bawah PH. Mereka hanya menunggu Parlimen dibubarkan sahaja.

Malangnya dalam mereka bersusah payah bangkit dan menyusun langkah baharu sehingga UMNO berjaya menang dalam lima pilihan raya kecil selepas PRU14, tiba-tiba diberitakan pemimpin tertinggi mereka mencari jalan mudah dengan membina kesepakatan dengan "musuh" di belakang mereka. Siapa yang tidak marah, kecewa dan sedih.

Tidak hairanlah sampai ada ahli UMNO yang melabelkan pemimpin yang cuba berbaik dengan Mahathir untuk jadi kerajaan melalui pintu belakang sebagai dayus!

Catat Komen

0 Ulasan