UMNO perlu ikut Pas jika mau selamat?


Anwar begitu pantas menghidu usaha-usaha menggagalkan beliau menjadi PM8 lantas beliau bertemu PM7 untuk bertanya tentang janji mereka berhubung peralihan kuasa PM. 

ITULAH kata-kata seorang rakan yang juga orang kuat UMNO bila aku tanya pasal Pakatan Nasional yang digembar-gemburkan oleh Lokman Adam tempoh hari. Katanya, UMNO nak tak nak kenalah ikut gerak geri Pas memandangkan hanya Pas sahaja mempunyai kekuatan untuk berganding dengan UMNO, melawan PH.

Dia membayangkan andai Pas berpaling tadah dan lari meninggalkan UMNO untuk bergabung dengan Mahathir dan Bersatu membentuk Pakatan Nasional, maka UMNO akan bersendirian terutama bagi menghadapi PRU15 nanti. Takkanlah UMNO nak ajak DAP dan Amanah untuk bersama-sama dalam Muafakat Nasional?

Begitulah bayangan rakan aku itu jika UMNO tidak bersama-sama Pas menyokong pembentukan Pakatan Nasional yang bertolak daripada gesaan Mahathir agar semua parti-parti politik Melayu bersatu.

Hari ini heboh pula mengenai perakuan bersumpah untuk mengekalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Akhbar The Star melaporkan Mahathir mendapat sokongan daripada 138 Ahli Parlimen agar beliau meneruskan tugas sebagai PM sehingga PRU15, dan tidak perlu melepaskan kerusi itu kepada PM8 di tengah jalan.

Menariknya daripada 138 undian yang diperoleh Mahathir, 39 orang datang daripada Ahli Parlimen UMNO. Jika dilihat jumlah Ahli Parlimen BN hari ini ialah sebanyak 41 orang maknanya hanya tiga Ahli Parlimen BN yang tidak mengundi dan aku yakin satunya daripada Ahli Parlimen Pekan.

Manakala Ahli Parlimen Pas pula sebanyak 18 orang memberikan undian penuh kepada Mahathir.
Perolehan undian itu sekali gus menolak usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi PM8 selepas Mesyuarat APEC di Kuala Lumpur.

Apakah benar sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Mahathir ini untuk menyelamatkan Malaysia daripada jatuh ke tangan Anwar yang juga bekas banduan kes jenayah liwat?

Dan jika sokongan seperti ini diterima oleh Mahathir, apakah Ahli Parlimen Langkawi itu akan membentuk kerajaan baharu bersama UMNO dan Pas, serta menolak DAP, Amanah dan PKR pro-Anwar sebagai pembangkang?

Aku percaya ini tidak akan berlaku dan Mahathir tidak akan berani untuk bertindak sedemikian tanpa kerelaan daripada DAP, selaku abang besar dalam PH.

Bagi aku ini semua buang masa dan lebih parah lagi, UMNO sanggup hilang maruah apabila sanggup memberi sokongan kepada Mahathir, pemimpin yang telah menghumban UMNO ke dalam longkang.

Benar, aku sendiri tidak mahu seorang Perdana Menteri bekas banduan dan peliwat tetapi dalam hal ini aku rasa UMNO sepatutnya bersikap berkecuali, sepertimana yang diambil oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertindak tidak menyokong mana-mana pihak.

Ini kerana dalam keadaan sekarang siapa pun menjadi PM, baik Mahathir yang tidak ubah seperti boneka kepada DAP, apatah lagi Anwar yang bagai sesumpah boleh berubah warna mengikut keadaan. Sebaliknya paling selamat adalah dengan membubarkan Parlimen dan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih pemerintahan yang baharu, sekali gus PM8.

Harus diingat kekuatan UMNO terletak pada akar umbi dan UMNO masih mempunyai jutaan ahli di peringkat bawah yang begitu taat dan setia kepada parti. Mereka tidak berpaling lari meninggalkan pasukan ketika tewas, malah mereka membina semula kubu dan kekuatan baharu bagi melawan musuh.

Mereka inilah yang menjadi tunjang kekuatan UMNO, bukannya Pas apatahlah Mahathir. Bagi aku, kalau Pas mahu mengadakan undi percaya kepada Mahathir, biarkanlah dan UMNO perlu istiqamah dan percaya kepada ahli-ahli yang setia di belakang mereka.

Lalu, apa manfaat yang diperoleh UMNO melalui undi percaya seperti ini melainkan menunjukkan kelemahan UMNO, kelak nanti yang mentertawakan UMNO adalah Mahathir sendiri.



Catat Komen

0 Ulasan