Bersatu bubar menjelang PRU15?


ITULAH yang aku jangkakan jika melihat senario politik pada hari ini. Tindakan Bersatu yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan kerajaan pakatan yang turut disertai DAP, PKR dan Amanah itu tumbang selepas memerintah selama 22 bulan sejak memenangi PRU-14 lalu.

Tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memilih bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada UMNO/BN dan Pas menyebabkan parti itu berpecah -- kumpulan yang menyokong Muhyiddin dan sedia menerima sokongan MN (yang kemudian dikenali Pakatan Nasional - PN) dan penyokong Dr Mahathir Mohamad yang menolak kerjasama dengan MN, sebaliknya mahu terus bersama PH.

Perebutan jawatan Perdana Menteri (PM) antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang akhirnya berpihak kepada Muhyiddin yang dikatakan sebagai penyelamat kemelut kepimpinan negara, sebaliknya telah dituduh sebagai pengkhianat kerana "merampas"kerusi tersebur menerusi pintu belakang.

Persoalannya, apakah kerajaan Muhyiddin mampu bertahan ketika beliau terus diasak oleh Bersatu pro-Mahathir, PKR-pro-Anwar, DAP dan Amanah terutama menjelang persidangan Dewan Rakyat yang dijangka akan bermula pertengahan Mac ini?

Apakah Muhyiddin akan mendapat undian majoriti untuk mempertahankan kerajaan sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dilakukan di Parlimen? Dan apakah langkah membubarkan Parlimen sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan kelemut tersebut?

Seperti aku nyatakan sebelum ini, jika Parlimen dibubarkan dan PRU15 dilaksanakan, Bersatu akan seperti kucing kehilangan anak untuk mencari kerusi yang selamat ditandingi sebagai sebuah parti tunggal ketika MN sudah menyusun gerak kerja dan pembahagian kerusinya.

Aku percaya jika Bersatu bertanding sebagai parti tunggal sepertimana dilakukan oleh Pas pada PRU14 lalu, Bersatu bukan sahaja tidak mampu memenangi kerusi, malah lebih parah menyebabkan pertembungan tiga penjuru yang akhirnya tidak memberi manfaat sama sekali kepada Bersatu.

Malahan tidak mustahil PH akan merebut peluang dengan perpecahan undi terutama daripada kalangan pengundi Melayu, sekali gus mengulangi senario sama semasa PRU14 lalu.

Muhyiddin dijangka membubarkan Bersatu menjelang PRU15 dan membawa bersama para penyokongnya kembali ke pangkuan UMNO. 
Justeru, aku melihat Muhyiddin akan membubarkan Bersatu menjelang PRU15 dan ahli-ahli Bersatu akan menyertai semula UMNO atau Pas dan mereka akan bertanding atas tiket MN bagi menentang PH. Bagi yang tidak boleh menerima kenyataan tersebut, mereka akan memilih untuk bersama PH, dengan menyertai mana-mana parti di bawah pakatan tersebut.

Jika senario ini berlaku, maka peluang MN untuk memenangi PRU15 adalah lebih cerah berbanding PH, memandangkan PH mempunyai rekod yang buruk ketika rakyat memberi peluang kepada mereka memerintah negara selama 22 bulan.

Lagi pula pembubaran Bersatu adalah jalan terbaik demi penyatuan orang Melayu yang kini sudah semakin berpecah-belah angkara politik sehingga wujud pelbagai parti politik yang mewakili orang Melayu. Hal ini tidak molek bagi masa depan politik Melayu itu sendiri.

Jika Semangat 46 boleh melakukannya, kenapa Bersatu tidak? Hashtag DEMI MELAYU DAN ISLAM!!

Catat Komen

0 Ulasan