“Ahli Parlimen Katak” barisi Kabinet Muhyiddin?

Enam Budak Hitam (dari kiri) Rosol Wahid, Hamzah Zainuddin dan Latiff Ahmad serta Ikmal Hisham (paling kanan) berada dalam barisan Kabinet Muhyiddin.

ADA yang kata Kabinet Muhyiddin merupakan "Kabinet katak" kerana hampir semua Ahli Parlimen yang membuat "lompatan" dari parti asal ke parti baharu sebelum kerajaan PH tumbang mendapat jawatan menteri atau timbalan menteri.

Ini termasuk kalangan Ahli Parlimen yang bertanding atas kerusi UMNO, kemudian melompat ke parti Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus UMNO/BN tumbang dalam PRU14 lepas.

Mereka termasuk empat daripada  'kumpulan 6 budak hitam' iaitu:

> Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri)
> Abdul Latiff Ahmad (Menteri Pembangunan Luar Bandar)
> Rosol Wahid (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna)
> Ikmal Hisham Abdul Aziz (Timbalan Menteri Pertahanan)

Dua lagi geng budak hitam ialah Fasiah Fakeh dan Shabudin Yahya.

Turut memperoleh jawatan menteri dan timbalan menteri ialah empat Ahli Parlimen UMNO yang lebih awal melompat iaitu:

> Mustapa Mohamed (Menteri di JPM - Ekonomi)
> Mas Ermieyati Samsuddin (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)
> Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Pemakanan)
> Rahim Bakeri (Timbalan Menteri Kewangan I)

Selain itu, sembilan daripada 11 Ahli Parlimen PKR pro-Azmin yang meninggalkan parti itu dan menjadi penyebab kerajaan PH tumbang turut memperoleh jawatan masing-masing. Mereka iaitu:

> Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) merangkap Menteri Kanan paling kanan
> Zuraida Kamaruddin (Kekal sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
> Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia)
> Kamaruddin Jaffar (Timbalan Menteri Luar)
> Mansor Othman (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)
> Santhara Kumar (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan)
> Ali Biju (Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli)
> Jonathan Yasin (Timbalan Menteri II Dalam Negeri)
> Wilie Mongin (Timbalan Menteri II Perusahaan Perladangan dan Komoditi)

Dua lagi ialah Baru Bian dan Rashid Hasnon. Baru yang pada mulanya menyertai kumpulan Azmin tetapi membuat pusingan U menyokong Anwar Ibrahim sehari sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM8.
11 Ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti mendapat jawatan dalam Kabinet Muhyiddin kecuali Rashid Hasnon dan Baru Bian (buat pusingan U).

Bak kata seorang sahabat, mereka beruntung kerana jika tidak melompat parti serta masih kekal dalam parti yang lama, kemungkinan peluang mereka untuk menjadi anggota Kabinet Muhyiddin mungkin tipis.

Malah mereka lebih beruntung daripada rakan-rakan yang setia bersama UMNO sendiri kerana tidak berpeluang untuk mengisi jawatan Kabinet kerana keutamaan kepada mereka yang mempunyai jawatan di peringkat UMNO Pusat.

Cuma aku kesihan dengan Hishammuddin Hussein yang dikatakan sebagai 'mastermind' kerjasama Bersatu dan Muafakat Nasional (UMNO/BN-Pas) sehingga berjaya menumbangkan PH selepas 22 bulan menjadi kerajaan.

Tindakan Bersatu diketuai Muhyiddin meninggalkan PH sejurus Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai PM7 menyebabkan pakatan itu kehilangan majoriti di Parlimen sehingga dituduh sebagai kerajaan pintu belakang seperti kata Mat Sabu, "merompak di tengah jalan".

Hishammuddin sejak awal disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan "Perikatan Nasional". Malah dalam twitternya, nada kekecewaan terserlah apabila dia menulis:

"Yes it’s a new beginning - at least I am back . Thank you for all the kind words"

Kata-kata "at least I am back" menampakkan seolah-olah Hishammuddin pasrah dengan jawatan yang diterima kerana beliau mungkin mengharapkan jawatan lebih senior, kalau tidak TPM sekurang-kurangnya Menteri Kanan.

Kesimpulan, jawatan dalam Kabinet ini adalah rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT dan segala apa yang diberlaku ada sebab dan musababnya. Percaya kepada qada dan qadar.

Jadi kepada mereka yang diberi tanggungjawab sebagai anggota Kabinet itu, bekerjalah dengan ikhlas untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air. Jangan sibuk nak membesarkan tembolok sendiri atau kawan-kawan para penasihat, pengampu dan pembodek yang selepas ini akan berumah tangga di Putrajaya.

Ingat, jadikan kelemahan menteri-menteri PH sebagai pengajaran. Menteri juga jangan hanya sibuk berpolitik. Tumpulah kepada kerja masing-masing sebab gaji kalian dibayar oleh rakyat dan rakyat sebagai pengundi sedang memerhati.

Tahniah dan selamat bertugas!

Catat Komen

0 Ulasan