Sesal Mahathir tidak berguna...


DRAMA politik negara sudah berakhir. Seperti yang aku jangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menerajui negara selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya. Malangnya, pemilihan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak seperti yang aku jangkakan.

Berawal dengan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri lantaran tekanan yang berterusan diterima beliau daripada para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin tidak sabar menunggu tarikh peralihan kuasa oleh Ahli Parlimen Langkawi kepada Ahli Parlimen Port Dickson.

Pada masa yang sama Bersatu mengumumkan keluar dari PH dipercayai ada kaitan dengan tidak berpuas hati dengan pengaruh DAP yang melampau termasuk dalam isu pembebasan 12 penyokong pengganas LTTE oleh Peguam Negara. Tambah menarik lagi 11 Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohd Azmin Ali pula mengumumkan keluar daripada PKR. Ini menyebabkan PH kehilangan majoriti di Parlimen.

Peluang itu diambil oleh Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada UMNO/BN dan Pas yang mengumpul rakan-rakan dari parti kecil lain untuk mendapat majoriti di Parlimen. Tugas MN lebih mudah apabila Bersatu yang keluar dari PH menyatakan hasrat untuk bergabung dengan MN bagi membentuk kerajaan baharu.

Ekoran itu PH yang diketuai DAP bersama PKR dan Amanah yang telah kehilangan majoriti turut berusaha menarik sokongan beberapa parti politik lain khususnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan untuk memperoleh majoriti dengan menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri. Malangnya idea PH ini gagal menarik sokongan GPS dan Warisan.

Nak atau tidak PH terpaksa merayu dengan Dr Mahathir agar kembali menjadi Perdana Menteri bagi PH bagi membolehkan kerajaan PH kekal sebagai pemerintah di Putrajaya. Dr Mahathir yang pada mulanya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seperti dicadangkan oleh gabungan Bersatu-MN, terpaksa membuat pusingan-U dan menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Malangnya cadangan PH itu sudah terlambat apabila Yang di-Pertuan Agong selama tiga hari untuk menentukan kerajaan dan Perdana Menteri yang baharu dengan menemubual kesemua 222 Ahli Parlimen, memanggil pemimpin-pemimpin tertinggi parti politik yang mempunyai kerusi serta mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-raja memutuskan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan, dengan melihat sokongan yang diterima hasil temu bual yang dibuat di Istana Negara.

Dalam drama politik negara selama seminggu ini, aku percaya Dr Mahathir menjadi orang yang paling menyesal dalam hidupnya kerana melepaskan kerusi Perdana Menteri hanya kerana menerima tekanan dari dalam PH sendiri khususnya dari PKR blok Anwar, DAP dan Amanah.


Aku percaya jika Dr Mahathir tidak melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu, sudah tentu kerajaan PH masih berada di tampuk pemerintahan dan drama ini tidak akan berlaku. Padahal beliau sudah mendapat sokongan daripada PKR blok Azmin, Pas dan pucuk pimpinan UMNO agar beliau terus menjadi Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Keseriusan Pas untuk membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathirdi Parlimen untuk memastikan Anwar tidak mengambil alih kerusi Perdana Menteri di pertengahan. Langkah Pas itu disusulli oleh UMNO yang menyuarakan nada serupa walaupun ditentang oleh beberapa pihak dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Aku percaya tindakan Dr Mahathir menyerahkan kepada Tuanku untuk memilih Perdana Menteri bagi mengelak beliau disalahkan jika Anwar tidak terpilih sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Dr Mahathir juga tidak menyangka pada masa yang sama partinya sendiri Bersatu, bertindak keluar PH dan langkah 11 Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti. Dr Mahathir ternyata tersalah langkah dengan melepaskan kerusi Perdana Menteri kerana beliau juga kehilangan kerajaan yang dipimpinnya.

Pada masa yang sama Anwar terus kekal menjadi orang yang paling malang dalam hidup, Usaha beliau untuk menjadi Perdana Menteri sejak hari pertama menyertai UMNO 30 tahun lalu ternyata gagal sehingga ke hari ini walaupun beberapa peluang sudah di depan matanya. Benar kata orang kalau rezeki tak ke mana dan kalau tak ada rezeki makanan di depan mulut pun boleh jatuh ke tanah.

Ternyata Dr Mahathir terus mencatatkan namanya dalam buku sejarah apabila menjadi Perdana Menteri paling lama selama 22 tahun semasa menjadi Perdana Menteri Keempat dan menjadi Perdana Menteri paling singkat iaitu 22 bulan semasa menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

Catat Komen

0 Ulasan